nuffnang

Showing posts with label Keindahan Itu Dingin(via baharuddin bekri). Show all posts
Showing posts with label Keindahan Itu Dingin(via baharuddin bekri). Show all posts

Saturday, November 30, 2013

nasihat dalam diam.

Nur Alya

Manusia berubah, begitu juga saya kerana saya ini manusia. Berubah menjadi lebih baik, berubah menjadi lebih hasad, berubah menjadi lebih bahagia, berubaha menjadi lebih miskin, dan segala macam lagi perubahan.
Cuma sahaja, pada ketika melihat manusia lain, ada perkara yang membuat saya terlupa untuk berubah.
***
Nama perempuan itu Alya. Nur Alya. Saya bertemu dan kenal dengan dia semasa bekerja di kedai serbaneka yang ada menjual minuman keras, kedai 8-11. Tetapi saya tidak lama bekerja di situ, cuma sempat tiga hari apabila ditegur oleh seorang lelaki yang baik hati, “Apakah kamu yakin dengan berkat pada pendapatan kamu dengan menjual minuman keras?”
Pertanyaan itu saya bawa pulang tidur dan bangun sahaja, saya tahu yang saya tidak yakin. Rezeki itu adalah berkenaan berkat, dan terus sahaja saya berhenti. Cuma sahaja Nur Alya terus bekerja di situ, dan sehinggalah lima bulan kemudian, saya bertemu lagi dengan Nur Alya.
***
Waktu itu saya sudah punyai pekerjaan yang baik, dan sering juga mengikuti kelas agama, lalu semangat saya bagi berdakwah itu juga tinggi. Saya yang mula-mula menegur dia, dan Nur Alya tersenyum kepada saya lalu berkata, “Dahulu, ada seorang lelaki mencari kamu. Kata saya, kamu sudah berhenti. Lebih malang, nombor telefon kamu juga tidak ada.”
Saya akur itu silap saya. Terburu-buru berhenti sehingga nombor telefon Alya pun saya tidak simpan. Tetapi tidak apalah, itu bukan isunya. Isu utamanya, saya melihat Alya masih memakai seragam 8-11.
Terus sahaja saya memberitahu hal yang saya lupa beritahu lima bulan dahulu, “Kamu yakin dengan berkat pendapatan kamu dengan menjual arak?”
Nur Alya yang saya yakin baru sahaja pulang dari kerja, memberikan pandangan yang biasa kepada saya. Dia tersenyum. Senyuman yang saya fikir adalah senyuman merendahkan nilai soalan saya itu.
“Itulah soalan yang lelaki yang mencari kamu.”
Saya terkejut. Mengapalah saya tidak fikirkan perkara itu, yang lelaki itu juga pasti bertanyakan soalan yang sama kepada Alya. Tidak mungkinlah dia bertanyakan soalan itu kepada saya sahaja.
“Jadi, mengapa kamu terus bekerja di situ? Adakah kamu tidak fikir masa hadapan kamu bukan semasa kamu berjaya di dunia, tetapi semasa kamu sudah mati. Mengapa?" soal saya.

Alya yang baru mahu bercakap sesuatu, terus saya sampuk kerana hati saya meluap luap rasa tidak puas hati.
“Saya bukannya baik sangat tetapi kita manusia ini perlu berubah setidak tidaknya daripada tidak berkat kepada mendapat sedikit berkat. Setidak tidaknya. Lalu mengpa kamu tidak mahu begitu? Apa lebihnya bekerja di situ? Di mana berkatnya?"
“Sebab itulah lelaki itu mencari kamu. Sayangnya kamu berhenti awal.”
Saya tidak mengerti ke mana Alya mahu membawa perbincangan itu. Apa kaitan dengan lelaki itu pula?
“Mengapa dengan lelaki itu? Jangan jadikan dia alasan untuk perkara yang kamu sendiri boleh fikir."
“Dia mahu kita terus bekerja di situ.”
“Apa?” Saya hampir sahaja menjerit mendengar kata-kata Nur Alya.
“Ya.”
“Sebab apa pula? Bukankah dia yang bertanyakan soalan itu?”
“ Sebab dia mahu membayar upah kepada kita. Manakala duit gaji itu kita sumbangkan kepada badan dakwah. Badan dakwah itu yang kemudiannya membayar kita kembali. Kiranya, kita dapat gaji yang berkat. Tetapi dengan satu syarat.”
“Syarat?” Penerangan Nur Alya membuatkan saya sedikit keliru. Mengapa terdengar begitu kompleks?
“Syarat, supaya kita berdakwah kepada mana-mana orang Islam yang masuk membeli minuman keras. Tidak dapat dakwah mulut, kita juga disediakan dengan flyer. Masukkan sahaja flyer ke dalam plastik. Doakan mereka membacanya dan mendapat hidayah.”
Saya terdiam. Itulah pertama kali saya mendengar perkara itu.
“Itu yang saya lakukan. Hanya orang yang berada di dalam situ sahaja yang dapat menjalankan dakwah secara halus dan sembunyi. Bayangkan kita berdakwah menunggu di hadapan kedai, kamu fikir kamu tidak akan dihalau?”
Pertanyaan Nur Alya itu kembali menyentuh fikiran saya, dan akhirnya saya mengerti juga mengapa Nur Alya terus bekerja di situ.
Ternyata, saya tetap tidak mampu mengubah tanggapan saya kepada manusia lain, pada ketika saya merasakan diri saya lebih baik. Yang jelas, antara saya dan Nur Alya, perubahan Nur Alya itu lebih besar berbanding perubahan saya, dan saya pula hanya kerana merasa diri lebih baik, saya terlupa untuk berubah menjadi lebih merendah diri.

Friday, October 25, 2013

... dan lelaki baik yang bercinta

Lelaki ini, sebenarnya apa mahunya? Lelaki jugalah yang mengatakan perempuan itu seperti mawar, dan kata mereka, “Untung duri ini menumbuhkan mawar.” Namun pada ketika lainnya, mereka juga yang berkata, “Rugi sekali mawar ini mempunyai duri.”

Lalu apa mahumu, wahai lelaki? Saya ini benarlah perempuan yang tidak tahu berfesyen, tidak tahu jenama make up apa yang sesuai untuk saya, dan tidak tahu serba-serbi, namun saya tetap juga seorang perempuan yang punyai hati bagi memberi cinta, tetap juga punyai hati bagi menerima cinta.

Namun lelaki ini pandai betul. Pada saat saya berkata begitu, ini pula jawabnya, “Cinta Tuhan itu juga yang dipinjamkan kepada hati kamu. Jadi, elok sangatlah sekiranya kamu dahulukan cinta Tuhan dan pasti kamu tidak akan kecewa. Malah cinta manusia juga yang akan menyusul. Ataupun mungkin sahaja, kamu boleh menjadi seperti Rabiatul Adawiyah.”

Lalu diam sahajalah saya kerana, kata-kata lelaki itu adalah 'noktah' hati. Tidak ada salahnya pada kata-kata itu tetapi, untuk perempuan yang lemah seperti saya ini, bagi mencapai cinta Tuhan, perlukan bantuan, dan pastinya bantuan itu datangnya daripada seorang lelaki bernama suami. Tuhan tahu sekuat mana hamba-Nya, dan bantuan Dia tiba dalam bentuk cinta seorang lelaki.

Sekiranya tidak 'bantuan' yang Tuhan hantar itu, jadi bagaimana saya seorang perempuan yang lemah mampu memperoleh rahmat dan reda yang lebih daripada Allah? Lelaki juga tahu, perempuan yang taat kepada suami itu adalah perempuan yang menerima reda yang besar daripada Tuhan sehingga boleh masuk dari mana-mana pintu syurga yang perempuan itu mahu.

Jadi, mudahnya, saya ini tahu diri, saya adalah perempuan yang tidak kuat tetapi punya cita-cita besar bagi meraih cinta Ilahi. Lalu, para lelaki, bantulah saya ke arah itu. Namun, seperti kata saya tadi lelaki ini apa mahunya? Maksud saya, lelaki baik-baik ini, apa mahu kamu? Untuk lelaki-lelaki celaka di luar sana, tidak perlu tersenyum-senyum memberitahu mahumu. Jangan sampai ludahku, hinggap di wajah penuh nafsumu.

Soalan saya itu yang saya pendam-pendam dalam hati, sehinggalah pada suatu hari, saya mengerti juga, namun dalam bentuk yang membuat saya semakin bingung.


Ibu cantik

Begini sahajalah, biar saya ceritakan siapa saya, dalam satu ayat. Saya adalah perempuan yang berharap reda Allah, namun dalam masa yang sama saya adalah perempuan yang lemah. Itulah saya, dan lemahnya saya itu, adalah kerana tanpa sedar sering juga terpaut hati kepada lelaki baik itu dan lelaki baik ini dengan harap mereka menjadi suami saya.

Memanglah saya tidak melulu pergi kepada lelaki itu dan berkata “Kahwini aku”, tetapi tetap juga saya berasa berdosa kerana mempunyai rasa seperti itu. Rasanya seperti, murah benarlah hati saya ini. Namun itulah yang saya beritahu tadi, saya lemah untuk urusan yang satu itu. Mujur juga saya masih kuat bagi menahan diri bagi tidak terlihat seperti perempuan yang murah.

Sehinggalah pada suatu hari, saya perempuan yang lemah ini sempat berbicara dengan seorang ibu yang sudah punyai lima anak, tetapi wajahnya tetap segar, muda dan saya takjub sekali dengan dia. Bayangkan sahaja, sudah punyai lima anak tetapi tetap disangka anak dara yang baru mekar. Luar biasa sekali.

Seperkara yang saya tahu, ibu itu keturunan yang memang sedia cantik dan awet muda, namun seperkara lagi, saya baru tahu pada hari itu dan melalui ibu itulah, saya semakin rungsing dengan cerita lelaki-lelaki baik ini.

Lelaki baik

Petang baru masuk bersama awan-awan yang berbentuk kasut mary jane. (Bentuk kasut yang saya baru belajar secara tidak sengaja dua hari lepas). Saya pula pada ketika itu dengan wajah yang baru dikesat minyaknya sedang duduk semeja dengan seorang ibu beranak lima yang cantik.

Memang sudah tugas saya, sebagai editor buku bagi bertemu dengan manusia-manusia yang mahu menulis, dan pada petang itu, saya bertemu ibu yang mahu menulis. Menurutnya, dia mahu menulis berkenaan mendidik anak gaya Saiditina Fatimah, dan untuk saya, itu sangat bagus bagi pasaran buku.

Lalu cepat-cepatlah saya bertemu janji dengan dia, dan mulanya, terus-terang sahajalah di sini, saya menyangka akan bertemu perempuan yang berwajah keibuan, menyejukkan mata, dan membuat saya berasa menjadi anak kepada dia.

Sangkaan saya itu benar pada perempuan yang berwajah keibuan, menyejukkan mata tetapi dia tidak membuatkan saya berasa menjadi anak kepada dia. Malah, saya berasa dia seperti rakan sebaya walaupun anaknya sudah lima. Semuanya gara-gara wajahnya yang segar itu.

Mulanya hajat mahu berbincang berkenaan buku yang dia mahu tulis, tetapi kerana kagumnya saya kepada dia, saya lebih banyak cuba mencungkil rahsia berkenaan dirinya. Bertanya itu, bertanya ini dan kemudiannya, sampailah saya kepada soalan yang membuat saya rungsing.

Soalan

“Yakin saya, Puan ini tetap muda kerana air wuduk yang tidak pernah sempat batal,” kata saya cuba memancing rahsia.

Ibu beranak lima itu hanya tersenyum sopan, dan yakin saya lelaki yang melihat senyumannya itu, adalah lelaki yang paling bertuah di dunia.

“Tidaklah sampai air wuduk itu tidak sempat batal, dan malah kebanyakkan waktu, air wuduk saya batal,” kata ibu muda itu pula.

Belum sempat saya memikir lanjut sebab air wuduknya sentiasa batal, terus ibu cantik itu menyambung, “Sekiranya ada waktu yang sempat, jangan pernah gagal bagi menyentuh suami mu. Paling tidak cuit lengannya, itu pun sudah cukup. Sentuhan-sentuhanlah yang menjadikan bahagia itu tetap hangat. Dan lebih utama, suami yang baik, juga pasti mengerti aturan itu.”

Ibu cantik itu kemudiannya tersenyum-senyum malu. Mungkin kerana sudah berasa terlanjur menceritakan tips paling rahsia berkenaan kebahagian rumahtangganya. Saya pula, daripada memikirkan berkenaan ibu cantik itu, terus saya terbayangkan lelaki bertuah yang menjadi pasangannya.

“Bertuahnya lelaki itu,” kata saya, spontan.

“Sebenarnya, sayalah yang bertuah,” jawab ibu cantik itu pula.

Waktu itulah, saya berasa hairan. Mengapa pula ibu cantik itu yang berasa dirinya bertuah? Sedangkan, untuk saya ibu cantik itu, yang sebenarnya mendatangkan tuah lalu saya bertanya, “Lelaki yang bagaimana membuatkan Puan pula yang menjadi bertuah?”

Ibu cantik itu, tersenyum-senyum malu sebelum berkata, “Dia lelaki baik. Untuk perempuan, cukuplah itu yang mereka dapat dalam hidup mereka, iaitu lelaki baik, dan selepas itu, dunia seisinya sudah menjadi miliknya. Jadi, boleh kamu bayangkan betapa bertuahnya saya dengan hanya seorang lelaki saya sudah memperoleh dunia dan seisinya?”

Berdebar-debar dada saya saat mendengarkan jawapan ibu cantik itu. Sehingga begitu sekali? Lalu bertanyalah saya kepada soalan yang membuat saya menjadi rungsing.

“Bagaimana mahu mencari lelaki baik seperti itu?”

Ketika itu jugalah, ibu cantik tadi mula terlihat serius dan akhirnya berkata, “Lelaki yang baik akan sentiasa menjauhi diri kamu.”

Saya diam, dan saya langsung tidak nampak di mana logiknya.

“Saya tidak faham. Adakah maksud Puan lelaki baik tidak akan suka kepada saya?” Saya juga mula ikut serius.

“Lelaki yang tidak suka kepada kamu akan menjauhi mu, dan lelaki baik yang menyukaimu, juga akan menjauhi diri mu,” jelas ibu muda itu dan membuat saya semakin bingung.

“Adakah Puan ini ahli sufi?” telah saya, kerana untuk persoalan sebegitu, biasanya hanya sufi-sufi yang mampu membuatkan manusia terbingung-bingung.

Ibu cantik itu ketawa kecil dan berkata, “Saya bukanlah ahli sufi, tetapi itulah hakikatnya, dan biarlah saya terangkan sebabnya.”

Saya mengatur duduk saya supaya semakin baik, saya diam dan saya sedia mendengarkan kata-kata ibu itu.

“Untuk lelaki yang tidak menyukai kamu, memang jelas dia akan menjauhi kamu atas alasan, dia tidak suka kamu. Manakala untuk lelaki biasa, yang menyukai kamu, dia akan cuba mendekati kamu, dan ini pasti kamu tahu. Cuma lelaki yang benar-benar baik, apabila dia menyukai kamu dia akan menjauhi diri dari kamu dan inilah yang saya mahu ceritakan."

Jauh

“Lelaki yang baik itu, tidak akan menyentuh kamu. Tidak akan sesekali cuba menyentuh kamu. Bukan sahaja tangan halus kamu, bukan juga 'menyentuh' mata bening kamu, tetapi yang lebih utama, dia tidak akan 'menyentuh' hati lembut kamu. Mereka tidak akan menyentuhnya selagi mana mereka tidak bersedia, dan pada ketika dia sudah bersedia, dia akan menikahi kamu dan pada saat itulah, barulah dia berani 'menyentuh' hati kamu. Lalu bagaimana mungkin lelaki baik tidak 'menyentuh' hati kamu sekiranya dia tidak menjauhkan diri daripada kamu? Sedaya upaya dia akan cuba menghindar, kerana dia tahu, pada ketika dia membuka mulutnya bagi berbicara, pada ketika itulah, bicaranya yang baik-baik akan 'menyentuh' hati kamu, dan 'mencengkam' hatinya pula. Terjadi rindu dan kamu pun tahu maknanya rindu kepada bukan mahram itu sangat halus sempadannya, antara rindu baik dan zina hati. Sangat-sangat halus, dan lelaki baik tidak mungkin mahu mengambil risiko itu.”

Mendengarkan sahaja penjelasan itu, saya menelan liur. Bagaimana mungkin sehingga begitu sekali? Lalu, bagaimana nasib saya bagi berjodoh dengan lelaki yang baik sekiranya mereka menjauh dari saya?

“Lelaki baik itu, akan mendekatimu dengan niat mahu bernikah. Jadi pada ketika ada lelaki, yang berkata mahu menjadikan kamu isteri, dan pada ketika itu hati kamu terus berasa bahagia tanpa ragu-ragu, ketahuilah itulah lelaki baik, kerana kamu bahagia untuk perkara yang sudah kamu tahu. Bahagia itu bukan datangnya tanpa sedar, pasti sedikit-sedikit kamu tahu juga berkenaan lelaki baik di sekeliling kamu, dan tanpa sedar, kamu ada menaruh hati kepada dia. Lalu pada ketika lelaki yang kamu tanpa sedar suka itu, mengajak kamu nikah, kamu tidak akan ragu-ragu, malah kamu akan bahagia kerana kamu sudah tahu siapa dia,” sambung ibu muda cantik itu lagi.

“Jadi, maknanya sebagai perempuan saya tidak punya peluang untuk berusaha bagi memperoleh lelaki baik, dan sekadar mengharapkan mereka tiba-tiba datang?” soal saya dengan hati yang sudah gusar.

“Siapa kata tidak perlu berusaha? Kamu taat pada perintah Tuhan, kamu patuh pada larangan, ibadat kamu tidak pernah berhenti, dan semua itu adalah usaha. Jodoh itukan misteri Tuhan, selain mati dan rezeki. Jadi, usahakan sahaja apa yang termampu, dan itulah antara usaha saya. Selain itu percayakan ibu bapa kamu sekiranya mereka mahu memberi jodoh, percayakan rakan-rakan yang kamu yakin bagus telahan hatinya kerana ibadatnya, bagi mencadangkan jodoh dan mencarikan jodoh. Selain itu berdoa dan terus patuh juga taat kepada Allah. Cuma sahaja, perlu jugalah kamu ingat, patuh dan taat kepada Allah itu, bukan atas urusan mahu jodoh yang baik, tetapi ikhlas mahu memperoleh reda-Nya. Kerana pada ketika kamu diberi jodoh yang sangat bertentangan dengan diri kamu, segeralah bandingkan diri kamu dengan Asiah yang bersuamikan Firaun, dan Nabi Noh yang beristerikan perempuan yang tidak percaya kepada Tuhan. Itulah tujuan kamu taat dan patuh kepada Tuhan, iaitu bagi mengikhlaskan ujian yang diberikan-Nya, kerana mungkin sahaja jodoh kamu dengan lelaki baik tidak di dunia ini, tetapi ditangguh sehingga ke akhirat.”

Saya diam, dan saya akui saya rungsing hanya kerana memikirkan, adakah saya cukup kuat untuk semua perkara ini? Ah... lelaki baik apabila bercinta....

perempuan yang bahagianya ke langit

Saya adalah perempuan yang diajar dengan penuh kasih oleh orang tua saya, bagi mengukur kebahagiaan diri sendiri melalui kebahagiaan orang lain. Saya tidak sekadar diberitahu, tetapi saya ditunjukkan apa itu bahagia. Sekiranya ayah tersenyum nampak gigi, bermakna dia bahagia dan saya ikut bahagia. Sekiranya ibu tersenyum nampak gusi, bermakna dia bahagia dan saya juga jadi bahagia.

Bukan hanya kepada orang tua ukuran kebahagiaan saya itu dibina, malah kepada adik-adik, sepupu, pak cik mak cik, rakan-rakan, guru-guru, dan jiran-jiran, ia sudah kukuh dalam hati.

Lalu tidak jaranglah, pada ketika hari raya, pada saat semua berbaju baru, saya masih menggunakan baju tiga tahun lepas. Yang utama, asalkan adik-adik saya tersenyum dan gembira dengan baju mereka, saya sudah ikut menjadi manusia paling bahagia di dunia.

Semuanya kerana, menjadi keluarga sederhana di tengah-tengah kota, menjadikan kata sederhana itu sebuah kata yang menyakitkan. Ayah dan ibu bekerja keras, hanya untuk membesarkan kami, dan pada perkataan 'keras' itulah saya mengerti, ia akan mengikuti mana-mana keluarga sederhana sampai mereka mati, ataupun sekiranya mereka bernasib baik, mereka kaya, ataupun mereka berpindah sahaja dari kota yang tidak pernah mahu berdamai dengan kata 'sederhana'.

Saya tidak tahu untuk kamu, tetapi ukuran kebahagiaan itu mudah untuk saya, namun dalam sesetengah perkara, saya jadi keliru, dan seperti ukuran itu menyongsong jauh daripada makna bahagia, dan ia menjadi derita pedih yang mengait ulu hati.

Inilah yang saya mahu kisahkan, kisah bagaimana ukuran bahagia itu mencederakan hati saya.

Teguh.

Atas kerana ukuran bahagia itu, saya belajar bagi berharap yang lebih besar. Saya sentiasa enggan membiarkan masa saya kosong tanpa diisi dengan buku. Berjaya dalam pelajaran adalah harapan saya yang paling mewah, yang pernah saya ada.

Lalu berkat doa ibu dan ayah, saya berjaya juga menempatkan diri di sebuah universiti tempatan. Saya katakan berkat doa mereka kerana, walaupun sudah sampai merah mata saya membaca buku pelajaran, tetap juga saya termasuk dalam pelajar yang sederhana dan keputusan juga sangat sederhana.

Dalam dunia yang hanya mencari mereka yang pandai-pandai, terselit jugalah saya untuk terus meneruskan harapan saya yang mewah. Semasa di universiti jugalah, saya diuji dengan sesuatu yang saya sangat pegang kejap tanpa pernah gugup, dan saya gagal.

Kejap.

Untuk sesuatu yang kamu percaya, kamu perlu membenamkan satu perkara jauh-jauh dalam hati kamu, iaitu prinsip. Saya sangat percaya pada ukuran kebahagiaan diajarkan oleh orang tua saya, dan padanya saya tanamkan banyak prinsip bagi menyokong, antara yang terkuat, jangan pernah jatuh hati kepada lelaki, sebelum saya mampu mengekalkan senyuman pada wajah ayah dan ibu.

Memang sering jugalah saya diusik dengan kata-kata, “Ibu saya kata, sekiranya mahu cari isteri, cari perempuan yang bertudung dan berkaca mata.”

Itulah saya, perempuan bertudung yang berkaca mata, namun kata-kata itu tidak menyisakan sedikit pun garis pada hati. Untuk yang lebih berani mereka akan berkata, “Sekiranya zaman dahulu, wajah putih cantik seperti kamu ini, pasti akan menjelmakan perang besar. Aduhai...”

Belum lagi dengan SMS pujangga yang saya terima, entah disalin daripada mana. Ada juga yang sangat percaya kepada kaedah surat, wangi, bertulisan cantik, dan kata-katanya, lembut sehingga ke tulang.

Tidak juga hati saya goyang. Namun betullah, apa yang kita paling jaga dengan sepenuh hati itulah, yang akan diuji Tuhan, dan tibalah saya pada saat ujian itu.

Ujian.

Semuanya bermula pada waktu hati sayang paling lemah. Pada ketika sampai berita kepada saya, gaji ayah saya yang sedia sedikit, ditarah-tarah menjadi hampir tumbang, kerana ekonomi negara semakin memburuk. Untuk keluarga sederhana yang tinggal di tengah kota, sakitnya berita itu, Tuhan sahajalah yang tahu.

Termenunglah saya di kantin, di hadapan buku yang terbuka. Pada ketika itulah semua meja sudah penuh dan datanglah seorang lelaki yang berwajah bersih dan baik, tersenyum dan menumpang duduk di hadapan saya.

Atas nama prinsip saya berlalu dan menghindar daripada lelaki itu. Itulah saat lemahnya saya, pada saat saya pergi, saya hanya membawa buku yang terbuka, dan meninggalkan telefon bimbit di atas meja.

Aduh, di situlah semuanya bermula. Lelaki berwajah bersih dan baik memulangkan kembali telefon bimbit saya. Namun ceritanya tidak semudah itu. Oleh kerana tidak kenal pun siapa saya, maka dia jujur memaklumkan bahawa dia sudah membaca SMS saya bagi mengetahui kepada siapakah telefon itu perlu dipulangkan. Termasuklah SMS daripada ibu berkenaan gaji ayah yang sudah ditarah.

Itulah logiknya, mengapa lelaki itu mudah menggenggam jiwa saya yang sedang lemah itu. Kata-katanya lembut memberi semangat, dan mulanya saya menerima itu hanya sebagai tanda hormat atas bantuannya. Lama-lama, entah bila dan bagaimana, saya seperti berlebihan hormat kepada lelaki itu.

Pada ketika menerima SMS lelaki itu timbul perasaan selesa, dan mujur saya masih ingat-ingat prinsip saya itu sehinggalah pada ketika, lelaki baik itu berterus terang mahu mengambil saya menjadi calon isteri.

Tunangan.

Jauh juga saya berfikir, hanya mengenali saya selama beberapa minggu, lelaki itu sudah berkira-kira mahu bercakap-cakap berkenaan nikah. Tidak saya yakin dengan lelaki itu sehingga dia memberitahu yang dia sebenarnya bukanlah pelajar melainkan pegawai di universiti, yang hidupnya sudah tidak lagi bolak balik memikirkan berkenaan ekonomi, selain hanya memikirkan berkenaan soal hati.

Saya perempuan yang menjunjung penuh maruah diri. Walaupun saya berkira-kira mahu menolak, namun entah mengapa hati saya seperti terjangkau pada daerah yang tidak pernah saya hampir. Daerah yang membuat saya menyimpan satu harapan yang lebih mewah daripada yang saya sudah ada, harapan bagi menjadi isteri dan ibu. Namun tetap sahaja, saya ukur kebahagiaan dengan kebahagiaan orang tua saya.

Lalu lirih sahaja jawapan saya, “Saya masih ada keluarga yang mengharapkan saya. Keluarga yang perlu saya bela.”

“Saya akan bersama kamu membela mereka.”

Lembutlah hati saya yang masih ragu-ragu. Tetapi tetaplah jawapan lelaki itu mempesonakan hati. Pasti sahaja, membela nasib orang tua sendiri menjadi lebih mudah sekiranya berdua. Lalu dengan malu yang sangat, dengan berat hati, dengan harapan yang entah saya tidak tahu apa lagi, saya berkata,

“Sekiranya kamu benar ikhlas, berjumpalah dengan orang tua saya. Suara saya ada dalam hati mereka.”

Benarlah lelaki itu ikhlas. Segala-galanya umpama mimpi untuk saya dan senyuman saya sudah naik sehingga ke pipi. Bertunanglah kami, dan janjinya akan segera bernikah pada ketika saya sudah habis kuliah.

Untuk beberapa bulan pertama, hidup terasa indah. Walaupun tidak pernah berdua-duan, walaupun tidak bertelefon sampai satu dua jam, namun sekadar SMS bertanya khabar daripada dia, membuat saya bahagia. Untuk pertama kalinya, saya tidak menggunakan ukuran bahagia yang selama ini saya percaya.

Tetapi janganlah kamu lupa, saya belum menceritakan lagi ujian yang saya khabarkan tadi. Ujian itu datang juga pada suatu malam yang berawan. Bintang bulan sudah terlindung seperti tahu apa yang akan terjadi.

Malam.

Malam itu, lelaki yang membawa bahagia kepada saya, mendesak-desak mahu bertemu, dan dengan bertemankan seorang teman, bertemulah kami bertiga di sebuah restoran.

Lelaki yang baik itu tidak langsung menyamarkan niatnya, dan dengan wajah yang tetap baik dia berkata, “Maafkan saya kerana esok, orang tua saya akan berjumpa dengan orang tua kamu, bagi memutuskan pertunangan kita.”

Mendengarkan sahaja berita itu, emosi saya membuak-buak. Entah, saya tidak tahu, apa yang saya rasa pada ketika itu. Mujurlah teman saya segera memegang tangan saya dan terus sahaja saya banyak-banyak menggunakan akal. Terpaksa saya menahan nafas supaya air mata tidak tumpah, namun tetap juga wajah saya jelas berubah. Saya hanya mampu tunduk memandang meja dengan hati yang.... saya tidak mampu jelaskan.

“Maafkan saya, kerana saya tidak mampu menepati saya janji.”

“Kamu bahagia dengan keputusan kamu itu?” soal saya, masih gamam.

“Tidak, tetapi itu yang terbaik untuk kita.”

Hanya itu kata-katanya dan hanya sampai di situ bicara kami. Saya diam, dan ukuran bahagia yang saya pegang, terus datang dalam hati. Saya menjadi keliru, untuk pertama kali, ukuran bahagia saya seperti kotak-kotak kosong cantik yang tidak punya apa-apa isi. Sekiranya dia tidak bahagia, bagaimana keputusan itu boleh menjadi yang terbaik untuk kami? Logik apa yang lelaki pakai? Yang pasti, ada bahagia yang lebih besar menunggu lelaki itu, dan untuk kebahagiaan lelaki itu keliru saya semakin jelas. Mengapa saya tidak bahagia pada ketika lelaki itu akan bahagia? Adakah dalam soal cinta lelaki perempuan itu, ada ukuran bahagianya yang tersendiri?

Saya sebenarnya sangat gamam sehingga tidak mampu menyambung lagi bicara, dan sampai sekarang saya tidak pernah tahu sebabnya dia begitu. Demi maruah saya tidak mahu bertanya, kerana bertanya itu dekat sekali dengan merayu-rayu. Tidak, saya tidak mungkin merayu untuk perkara seperti itu.

Itu yang saya fikir dan rupanya, fitrah diri perempuan datang juga kepada saya. Perempuan itu halus dan lembut hatinya dan, menangislah saya malam itu seorang diri di bilik air. Sedikit-sedikit, pedih perkara itu bersahut-sahutan, bergema dan akhirnya hati saya roboh.

Untuk seumur hidup, malam itu adalah kali pertama saya rebah pada sesuatu yang bernama 'cinta'. Lupa saya pada ukuran bahagia yang saya sanjung, lupa saya pada namanya ujian Tuhan, lupa saya segala-galanya. Hanya kata 'mengapa?' sahaja yang berulang-ulang muncul dalam kepala. Sakitnya sampai saya tidak mampu menggerakkan jari.

Dia lelaki baik, lelaki yang meminta dengan cara yang baik, dan segala-galanya berkenaan lelaki itu tidak ada yang buruk. Namun ternyata, apabila lelaki melepaskan sesuatu yang bernama cinta, sebaik mana pun lelaki itu sebelum ini, dan sehalus mana pun cara lelaki itu melepaskannya, ia tetap bukan hal yang terbaik kepada saya seorang perempuan.

Kamu, tetap saya kenang sebagai lelaki yang paling menyakitkan. Anehnya, perasaan ini. Tidak saya pernah rasa diri saya berada dalam keadaan di mana logik akal menjadi tidak laku. Sekiranya sahaja lelaki itu memutuskan dengan cara dia sudah curang, mungkin saya punya alasan bagi sakit hati. Namun, untuk perkara sesakit ini, saya langsung tidak punya sebab untuk dihiris-hiriskan pada hati. Tahu-tahu, hati saya terhiris sendiri.

Akhirnya, saya tarik satu kesimpulan, tidak kira kamu lelaki baik ataupun jahat, pada saat kamu sudah tidak mahu lagi memegang cinta si perempuan, kamu tetap lelaki yang melukai dan tidak mampu dikenang sebagai lelaki yang baik.

Itulah malam yang membuatkan saya hilang fitrah dalam diri, fitrah bagi mempunyai rasa kasih kepada lelaki kerana saya hilang percaya. Harapan saya, mahu membahagiakan orang tua jugalah yang saya tetap julang ke kepala. Menguatkan cinta kepada Tuhan juga saya saya usahakan, namun tetap bayang wajah lelaki baik itu berdatangan dalam kepala, mengganggu malam-malam tahajud.

Akhirnya ada dua perkara yang datang dan pergi. Pertama hilangnya rasa percaya kepada cinta manusia bernama lelaki, dan kedua, pada ketika saya berusaha mencari cintanya Tuhan, wajah lelaki itu pula yang datang.

Bukan saya tidak berusaha, puluhan buku motivasi sudah saya baca, solat sunat malam-malam sudah saya lakukan, namun tetap juga rasa tidak percaya itu masih ada dalam hati, dan wajah lelaki itu tetap juga saya kenang. Ia sesuatu yang sangat ironi. Tidak saya tahu berapa lama saya berkeadaan begitu, tetapi cukup lama sehingga sering juga ibu saya bertanya dengan sopan, “Kamu sudah ada kawan?”

Saya tersenyum baik dan menggeleng, dan pecah-pecah pada wajah ibu saya membuatkan bahagia saya hilang. Belum lagi mak cik dan sepupu yang bertanya tanpa ada hasrat menjaga hati., dan terus teranglah, hati saya memang tersentuh.

Cuma sahaja, pada suatu hari saya bertemu dengan seorang perempuan yang sentiasa tersenyum dan dia memberikan saya sesuatu untuk saya kenang, dan untuk saya pegang dengan susah payah.

Perempuan itu.

Ada suatu tempat saya temukan perempuan itu, atas urusan kerja. Berbuallah kami, berbicara itu ini, sehingga pada suatu ketika dia bertanya siapa lelaki di hati saya. Saya hanya mampu menggeleng dan dia tersenyum. Bertanya lagi dia, mengapa hati saya belum terisi dan, mungkin kerana lembut bicaranya, ataupun pandainya dia mengambil hati, mengalirlah cerita tentang saya yang sudah putus harap kepada lelaki.

Perempuan itu mendengarkan cerita saya dengan prihatin, dan ketika saya sudah berhenti cerita kerana tiba-tiba berasa malu, bercerita kisah patah hati saya yang dulu-dulu, perempuan itu pula yang mengatur rangkaian ceritanya yang penuh pesona.

Katanya, “Saya ini, bukan perempuan sebaik kamu, yang dididik menjadi perempuan yang ketat menjaga diri. Saya ini, sudah hampir sepuluh kali putus cinta. Ya, saya putus cinta tetapi tidak sekalipun saya takut kepada perkara yang bernama cinta manusia.”

Saya diam, walaupun saya punya pendapat, namun tetap tidak berani saya meluahkannya. Malu barangkali bercerita berkenaan cinta lelaki.

“Adakah saya salah?” tanya perempuan itu, dan saya sudah tidak dapat lagi mengelak bagi ikut bicara.

“Saya tidak tahu, tetapi seperti kata orang bijaksana, cinta bunga, bunga akan layu, cinta manusia, manusia akan mati, dan cinta kepada Allah, itulah cinta yang abadi. Jadi adakah tidak lebih baik kamu mengejar cinta Allah?” kata saya dengan wajah penuh sopan, dan nada suara perlahan. Semoga dia tidak jauh hati.

Betul dia tidak nampak seperti orang yang jauh hati, kerana senyumannya membesarkan hati saya.

Malah dia masih boleh bicara. Katanya, “Ada dua perkara dalam diri kita, fitrah yang Allah sudah berikan semula jadi sejak lahir, dan syariat yang disampaikan melalui Nabi bagi mengawal fitrah kita supaya tidak menjadi binatang. Syariat tidak pernah berlawanan dengan fitrah manusia. Lalu adakah orang yang berkahwin itu tidak mampu mencapai cinta sang Maha Pencinta? Malah syariat itu membantu fitrah, dengan datangnya kewajipan berkahwin untuk yang mampu. Lalu, untuk manusia lemah seperti saya ini, saya melihat mencintai seorang lelaki yang sudah menjadi suami, adalah antara jalan-jalan bagi memperoleh cintanya Allah. Mungkin sahaja saya boleh kata begini, cinta kepada bunga, cinta kepada manusia, semuanya membawa cinta abadi kepada Allah. Sekiranya akhirat itu destinasi, dunia ini adalah jambatan. Bunga, manusia, cinta dan semua itu juga adalah jambatan.”

Saya diam, dan tidak tahu berkata apa kepada perempuan yang seorang ini. Pada suatu ketika bicara terdengar cukup murah, dengan jatuh kepada 10 lelaki. Namun pada ketika lainnya, bicaranya seperti nilainya 'waktu' yang tidak boleh dibeli. Apakah pada akhir zaman ini, manusia memang punya kebolehan berbicara begitu?

“Maaf sekiranya saya buat kamu keliru. Beginilah, saya terus-terang sahaja. Empat cinta pertama saya, adalah ketika saya sangat muda dan tidak tahu apa itu halal haram, dan alhamdulillah, daripada kegagalan cinta-cinta itu saya ditunjukkan jalan ke arah cinta yang lebih benar. Dalam mencari cinta yang benar, sudah tiga kali saya bertunang dengan lelaki yang saya kira mampu membimbing saya, namun saya putuskan pada ketika ada bukti, mereka tidak akan mampu membimbing saya. Namun sekarang saya tetap tidak serik mencari.”

Lama saya diam, memeram kata-kata perempuan itu dalam kepala saya. Namun sahaja, tidak mampu saya hubungkan kaitkan dengan baik pada masalah saya.

Diam saya terlalu lama dan perempuan itu kembali berkata, “Masalah kamu ada dua, dan pada ketika kamu menyangka masalah itu berbeza, sebenarnya ia adalah satu.”

Saya mengangkat dagu, lalu membetulkan kaca mata memandang dia.

“Kamu fikir, masalah kamu sudah tidak ada hati kepada lelaki, dengan maslaah bayang-bayang wajah lelaki yang sering mengganggu fikiran kamu, sehingga kamu berasa tidak mampu mencapai cinta Yang Maha Kuasa adalah berbeza. Sebenarnya ia adalah masalah yang sama,” kata perempuan itu yakin.

“Masalah yang sama?” soal saya terhairan-hairan.

“Ya, masalah yang sama,” tegas perempuan itu dan menyambung, “Saya mahu memberitahu, antara perkara yang akan hilang pada ketika cinta itu pergi adalah maaf. Itulah masalah kamu, kamu sudah hilang kata maaf saat lelaki itu membawa pergi cinta kamu. Sehingga sahaja ia membunuh fitrah kamu, dan pada masa yang sama, kamu tidak mampu melupakan lelaki itu kerana kamu tidak memaafkannya.”

“Kamu memang fikir begitu?” soal saya dengan tegas. Tidak sesekali saya mahu menerima bulat-bulat.

“Kekuatan perempuan itu, bukanlah kerana dia menahan air matanya, tetapi kekuatannya adalah pada ketika dia melepas air matanya. Begitu juga dengan kata maaf. Pada ketika kamu menyimpan maaf itu dalam hati, kamu turut menyimpan kenangan yang pahit dalam hidup kamu. Pada saat kamu memaafkan kenangan pahit itu, kamu akan melepaskannya pergi jauh daripada hati dan fikiran kamu. Memaafkan itu juga adalah kata lain bagi melepaskan.” Perempuan itu semakin masuk akal kata-katanya, namun tetap juga saya masih seperti sukar mahu percaya.

“Yang lebih utama, pada ketika kamu sudah memberikan maaf, kamu akan memperoleh sesuatu yang lebih besar, kamu tahu apa?” Perempuan itu semakin asyik menyoal.

Saya menggeleng.

“Cinta. Cinta yang akan menuntun kepada Tuhan.”

Hanya itu jawapan. Pendek dan diiringi senyuman yang cukup bagi membuatkan hati berasa tenang.

“Semudah itu?” soal saya ragu-ragu.

“Semudah itu sekiranya kamu mahu percaya, cinta itu memaafkan, dan maaf itu memberikan cinta. Dua perkara yang berlaku serentak. Atas kata maaf dan cinta itulah rahmat Allah turun kepada manusia. Atas sebab sifat kasih dan sayang kaum perempuan itu jugalah, doa kita kaum perempuan ini menjadi doa yang sangat makbul. Jadi, berdamailah dengan nasib kamu. Berdamai dengan menerima ia qada qadar selepas kamu berusaha, dan berdamai dengan memberi kata maaf. Akhirnya terpulang kepada kamu juga bagi percaya ataupun tidak.” Perempuan itu cukup handal diplomasinya.

Saya mengangguk-angguk sekadarnya dan dari gerak saya itu, tahulah perempuan itu yang dia belum cukup lagi hujahnya.

“Kamu memberitahu, ukuran bahagia kamu adalah kebahagiaan manusia yang lainnya. Lalu bahagia manusia itu bukan sekadar cinta tetapi yang utama, adalah maaf. Manusia akan sangat bahagia apabila diberi maaf. Sekiranya manusia tidak bahagia pada kata 'maaf' untuk apalah mereka berdoa sepanjang masa bagi memohon ampun dan maaf daripada Tuhan? Kamu juga akan berasa bahagia bukan hanya kerana dia bahagia, tetapi kerana beban yang kamu sengaja simpan dalam hati sudah lepas. Lalu bagaimana menurutmu?” hujah perempuan itu lagi.

Saya tersenyum baik dan jauh-jauh dalam hati, saya mencari kata-kata maaf yang saya simpan, yang sudah berdebu dan berkarat. Semoga sahaja ia masih boleh diguna. Dalam diam saya itu juga, saya mula mengerti sesuatu berkenaan bahagia, dan dengan baik-baik saya berkata dalam hati, 'saya adalah perempuan yang  mengukur bahagia diri sendiri, dengan maaf dan cinta kepada manusia lainnya, kerana bahagia itu adalah cinta dan cinta itu sentiasa memaafkan'.