Jatuh
yang tidak ada orang simpati ialah jatuh cinta. Sebab jatuh cinta
indah, tidak macam jatuh tangga atau jatuh pokok, sakit. Cinta banyak
perkara cinta. Tidak ada siapa pun yang dapat larikan diri daripada
mencintai dan dicintai. Kemuncak cinta, ada orang masuk syurga kerana
cinta dan tidak kurang ramai orang yang akan dihumbankan ke neraka
gara-gara cinta. Cinta yang begaimana boleh bawa seseorang ke syurga dan
kenapa ada yang masuk neraka lantaran kerana cinta?
Cinta,
rasa yang ada dalam hati yang tidak boleh disukat-sukat. hati yang
merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya
dari dua sumber yakni dari nafsu dan dari Allah.
Cinta
yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati kotor, sering melakukan
dosa dan tidak pula bertaubat. Sifat-sifat keji seperti sombong, ujub,
riak, gila puji, hasad dengki dan lain-lain sifat jahat bersarang dalam
hati tidak dikikis, maka ketika itu nafsulah yang akan jadi Tuhan dalam
diri sehingga apa saja yang dilakukan mengikut arahan nafsu. termasuk
dalam meletakkan cinta, ukuran yang diberi dan sebab jatuh cinta pun
ikut selera nafsu.
Lelaki
akan jatuh cinta pada perempuan yang mendedahkan kecantikannya hingga
tubuh badan perempuan itu sudah tidak terlindung lagi pada pandangan
nafsunya. Cinta diberi ialah untuk mengisi keinginan nafsu seks lelaki
kepada perempuan. begitu juga wanita, jatuh cinta sebab lelaki kaya,
handsome bergaya, ada jawatan dan lain-lain keistimewaan yang disenangi
oleh nafsu. lantas cinta diberi dengan harapan mereka dapat tumpang
kemewahan dan kesenangan hidup lelaki tersebut. Jelasnya, cinta yang
datang dari nafsu ditujukan untuk kesenangan nafsu semata-mata.
Bila
bertaut dua cinta yang dilahirkan oleh nafsu yang punya kepentingan
masing-masing maka berlangsunglah babak-babak melahirkan rasa cinta.
Dari surat menyurat, telefon, ziarah, keluar makan-makan, berdua-duaan
di taman bunga, dalam keadaan saling rindu merindukan.. Ketika itu tak
ada lain dalam ingatan melainkan orang yang dicintai. Sehari tak jumpa
atau tidak telefon rasa berpisah setahun. Sudah tidak malu pada orang
sekeliling, apa lagi pada Allah yang Maha Melihat. Lagi mereka tidak
ingat dan takut. Lantaran itu mereka sanggup buat apa saja untuk
membuktikan kecintaan pada pasangan masing-masing.
Hatta
yang perempuan sanggup serah maruah diri konon untuk buktikan cinta
pada lelaki. Yang lelaki pula rela bergolok bergadai untuk memberikan
kemewahan pada perempuan sebagai bukti cinta. Akhirnya bila yang
perempuan telah berbadan dua, lelaki serta merta hilang cintanya. habis
manis sepah dibuang. Kalau pada lelaki pula, ada duit abang sayang, tak
ada duit abang melayang. Kalau pada suami pula, isteri seorang suami
disayang, bila hidup bermadu kasih pada suami
Itulah
falsafah cinta nafsu yang melulu. Cintanya hanya selagi nafsu ada
kepentingan. Cinta inilah yang banyak melanda orang muda yang dilambung
asmara. Hingga sanggup buat apa saja, sekalipun bunuh diri, kalau kecewa
dalam bercinta. Walhal sedap dan indahnya sekejap. Sakitnya lama, sakit
yang paling dahsyat ialah di neraka kelak. Inilah kemuncak cinta yang
paling malang dan memalukan.
Cinta
nafsu kalau pun boleh bersambung sampai membina rumahtangga ia tetap
akan menyeksa. Kerana suami akan cinta pada isteri selagi isteri masih
muda, seksi dan manja. Yakni selagi nafsu dapat disenangkan. Bila isteri
tua, kulit berkedut, tampal make-up lagi hodoh, rambut putih dan gigi
pun sudah banyak gugur seperti opah, badan pun sudah kendur, maka cinta
suami akan beralih pada gadis muda yang menarik. Sekaligus hilanglah
cinta suami. Menderitalah isteri yang hilang perhatian suami apalagi
kalau terang-terang depan mata suami kepit perempuan lain, lagilah
isteri terseksa.
Begitu
juga si isteri. Cintakan suami selagi suami boleh membahagiakan dan
menunaikan segala keinginan nafsu. Selagi suami kasih dan sayang
padanya. Andainya suami hilang kuasa, jatuh miskin, masuk penjara atau
suami kahwin lagi seorang maka serta merta hilang cinta pada suami.
Sebaliknya berbakul-bakul datang rasa benci pada suami yang dulu dipuja
tinggi melangit. Begitu mudah cinta bertukar jadi benci. Akibatnya
berlakulah pergaduhan, masam muka, kata-mengata, ungkit mengungkit,
suami tidak pedulikan isteri dan isteri pun hilang hormat pada suami.
Rumahtangga panas dan menunggu saat untuk ditalqinkan ke kubur
perceraian. Ketika itu tak ada lagi pujuk rayu, cumbu mesra sebagaimana
waktu cinta tengah membara. Maka doktor yang menulis pun dituduh
merendahkan wanita, jangan marah tau.
Itulah gara-gara cinta nafsu yang sudah menyusahkan manusia di dunia lagi.
Sebaliknya
cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam hati, itulah cinta yang benar,
suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan mata, tapi ikut
pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah dan cinta diberi pun untuk
dapat keredhaan Allah. Cinta begini tiada batasannya. Tidak pula kenal
jantina dan kedudukan. Dan cinta lahir hasil dari sama-sama cinta pada
Allah.
Boleh
berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, lelaki
dengan perempuan, antara murid dengan guru, suami dengan isteri, sahabat
dengan sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan Nabinya dan
yang paling tinggi antara hamba dengan Tuhannya.
Kalau
berlaku antara lelaki dengan perempuan yang tidak diikat oleh tali
perkahwinan, mereka tak akan memerlukan untuk berjumpa, bercakap atau
melakukan apa saja yang bertentangan dengan kemahuan Allah. Cinta mereka
tidak akan dicelahi oleh nafsu berahi. Sebaliknya cinta itu ialah
tautan hati yang berlaku walaupun tak pernah kenal atau baru kenal tapi
hati rasa sayang dan rindu. Hati sedih kalau orang yang dicintai ditimpa
susah, senang kalau yang dicinta itu senang. Sanggup susah-susahkan dan
korbankan diri untuk senangkan orang yang dicintai.
Cinta
yang begini ada diceritakan dalam hadis, iaitu seorang lelaki yang
bertemu dan berpisah dengan sahabatnya kerana Allah maka mereka akan
mendapat perlindungan ‘arasy Allah di padang mahsyar nanti, hari di
amana masing-masing orang mengharap sangat lindungan dari matahari yang
sejengkal saja dari
kepala.
kepala.
Kalau
berlaku antara suami isteri maka isteri akan letak seluruh ketaatan
pada suami, berkhidmat dan melayan suami tanpa jemu-jemu. Sama ada waktu
suami tunjukkan sayang atau masa suami marah-marah. Sama ada suami kaya
atau miskin, atau suami kahwin lagi, cinta isteri pada suami tidak
belah bagi. salah satu contohnya penderitaan mengundang bahagia. Kerana
cintanya pada suami datangnya dari Allah hasil dari ketaqwaan isteri.
Datanglah ribut taufan, angin putting beliung melanda rumah tangga,
isteri tetap memberikan cintanya yang utuh dan teguh.
Begitu
juga suami, cinta pada isteri tidak kira isteri itu muda atau tua.
Samada pada hatinya. Selagi isteri taat pada Allah, isteri tetap
dikasihinya. Kalau dia ada empat isteri, tentulah isteri-isteri akan
tertanya-tanya, pada isteri manakah yang suami paling cinta? Kalau cinta
itu bersumber dari Allah, tentu isteri yang paling taqwalah yang paling
layak dicintai oleh suami lebih dari isteri-isteri lain. Sebagaimana
Rasulullah lebih mencintai Aisyah kerana taqwa Aisyah lebih tinggi dari
istei-isteri lain. Rasulullah saw akui sendiri hanya bersama Aisyah
saja, dalam satu selimut baginda pernah diberi wahyu. Tapi tidak pernah
berlaku semasa baginda satu selimut dengan isteri-isteri yang lain.
Sumber
cinta yang datang dari Allah akan meletakkan Allah yang paling tinggi
dan utama. Bila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta
pada makhluk maka cinta Allah dimenangkan. Misalnya seorang isteri yang
cinta suaminya. Tiba-tiba suami larang isteri melakukan ketaatan pada
Allah dalam hal tutup aurat, walhal tutup aurat itu Allah tuntut. Maka
kecintaan pada Allah itu akan mendorongnya untuk laksanakan perintah-Nya
walaupun suami tidak suka ataupun terpaksa kehilangan suami. Sanggup
dilakukan sebagai pengorbanan cintanya pada Allah. Sebaliknya kalau dia
turut kemahuan suami ertinya kata cinta pada Allah hanya pura-pura,
cintanya bukan lagi bersumberkan Allah tapi datang dari nafsu.
Cinta
yang datang dari Allah menyebabkan seseorang cukup takut untuk
melanggar perintah Allah yang kecil, apalagi yang besar, lagi dia gerun.
Seorang yang sudah dapat mencintai Allah, cinta yang lain-lain jadi
kecil dan rendah padanya.
Sejarah
menceritakan kisah cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf. Sewaktu Zulaikha
dibelenggu oleh cinta nafsu yang berkobar-kobar pada Nabi Yusuf, dia
sanggup hendak menduakan suaminya, seorang menteri. Bila Nabi Yusuf
menolak keinginannya, ditariknya baju Nabi Yusuf hingga terkoyak. Akibat
dari peristiwa itu Nabi Yusuf masuk penjara. Tinggallah Zulaikha
memendam rindu cintanya kepada Yusuf.
Penderitaan
cinta yang ditanggung oleh Zulaikha menyebabkan dia bertukar dari
seorang perempuan cantik menjadi perempuan tua yang hodoh. Matanya buta
kerana banyak menangis terkenangkan Yusuf, hartanya habis
dibahagi-bahagikan kerana Yusuf. Sehingga datanglah belas kasihan dari
Allah terhadapnya. Lalu Allah mewahyukan agar Nabi Yusuf mengahwini
Zulaikha setelah Allah kembalikan penglihatan, kemudaan dan
kecantikannya seperti di zaman gadisnya. Peliknya, bila Zulaikha
mengenal Allah, datanglah cintanya pada Allah sehingga masanya
dihabiskan untuk bermunajat dengan Allah dalam sembahyang dan zikir
wirid sehingga terlupa dia hendak melayan kemahuan suaminya Yusuf yang
berhajat kepadanya. terpaksa Nabi Yusuf menunggu Zulaikha menghabiskan
sembahyangnya, hingga hampir hilang kesabaran Nabi Yusuf lantas
ditariknya baju Zulaikha sehingga koyak; sebagaimana Zilaikha pernah
menarik baju Nabi Yusuf seketika dulu.
Begitulah
betapa cinta yang dulunya datang dari nafsu dapat dipadamkan bila dia
kenal dan cinta pada Allah. Cinta Allah ialah taraf cinta yang tinggi.
Kemuncak cinta ini ialah pertemuan yang indah dan penuh rindu di syurga
yang dipenuhi dengan kenikmatan.
Cinta
pada Allah akan lahir bagi orang sudah cukup kenal akan Allah. Kerana
cinta lahir bersebab. kalau wanita cinta pada lelaki kerana kayanya,
baiknya, tampan dan sebagainya dan lelaki cinta wanita kerana cantik,
baik, lemah lembut dan sebagainya maka bagi mereka yang berakal akan
rasa lebih patut dicurahkan rasa cinta pada Allah kerana segala
kenikmatan itu datangnya dari Allah.
Ibu
bapa, suami, isteri, sahabat handai dan siapa saja yang mengasihi dan
mencintai kita, hakikatnya itu semuanya datang dari Allah. Kebaikan,
kemewahan dan kecintaan yang diberikan itupun atas rahmat dan kasihan
belas Allah pada kita. Sehingga Allah izinkan makhluknya yang lainnya
cinta pada kita. Walhal Allah boleh bila-bila masa menarik balik rasa
itu dari hati orang-orang tadi kalau Allah mahu.
Allah
yang menciptakan kita makhluk-Nya, kemudian diberinya kita
berbagai-bagai nikmat seperti sihat, gembira, dan macam-macam lagi.
Samada masa kita ingat pada-Nya ataupun masa kita lalai, tetap
diberi-Nya nikmat-nikmat itu. Begitulah, kebaikan Allah pada kita
terlalu banyak sebagaimana firman-Nya: yang bermaksud:
“Kalau kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu tak terhitung.”
Besar
sungguh jasa Allah dari menciptakan, menghidupkan dan memberi rezeki,
suami, isteri, rumah dan macam-macam lagi yang dengannya kita boleh
lalui kehidupan dengan aman bahagia. Alangkah biadapnya kita kalau
segala pemberian Allah itu kita ambil tapi lupa untuk ucapkan
terimakasih, lupa pada yang memberi. Walhal, Allah boleh saja menyusah
dan menyenangkan kita dengan kehendaknya.
Oleh
itu orang yang betul kenal dan beradab, dia malu pada Allah. malah
kerana malunya itu dia tidak nampak yang lain lebih hebat dari Allah.
Cintanya tertumpu pada Allah, dan penyerahan diri pada Allah
sungguh-sungguh. Setiap saat menanggung rindu lalu masanya dihabiskan
untuk berbisik-bisik dengan kekasihnya. Sehingga kerana terlalu mendalam
cinta pada Tuhan ada hamba Allah yang berkata, “Wahai Tuhan, aku
mencintai Engkau bukan kerana takutkan neraka-Mu. tapi kerana Zat-Mu, ya
Allah. Aku rela masuk neraka kalau itulah kemahuan-Mu.”
Itulah
rintihan hati seorang wali perempuan Rabiatul Adawiyah dalam munajatnya
dengan Allah. Dia menyatakan dua cinta tidak boleh duduk dalam satu
hati. Bila cinta Allah sudah penuh dalam hatinya, maka tidak ada tempat
lagi untuk cinta selain dari itu.
Ada
orang mangatakan: “jika kau berikan hatimu ataupun cintamu pada manusia
nescaya dia akan merobek-robekkannya . tapi kalau hati yang pecah itu
diberikan kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan- Nya. Ertinya cinta
dengan Allah pasti berbalas. Dan Allah tidak membiarkan orang yang
dicintai-Nya menderita di akhirat.”
Jadi
seorang yang bijak dan beradab akan meletakkan kecintaan yang besar
pada Allah, pada Rasulullah dan barulah pada makhluk-makhluk lain di
samping-Nya. Itulah perletakan cinta yang betul dan menguntungkan di
dunia dan juga di akhirat. Itulah dia cinta kita pada Allah swt yang
patut kita letakkan.
No comments:
Post a Comment