6 basicof marg
6 ASAS RUMAHTANGGA BAHAGIA
Oleh: Ustazah Siti Nor Bahyah
STATISTIK menunjukkan di Barat hampir 90 peratus rumah tangga
berantakan kerana tidak mengikut acuan yang telah ditetapkan Allah SWT.
Tidak mustahil fenomena tersebut berlaku di negara ini apabila makin
ramai yang membina rumah tangga dengan hanya mengikut nafsu dan tidak
berlandaskan syariat Islam yang sebenarnya.
Sebenarnya senario
semakin membimbangkan ini telahpun dibuktikan dengan jumlah kes
perceraian yang dilaporkan meningkat hari demi hari. Malah mengikut
purata yang dikeluarkan oleh Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (Jakim)
seramai 77 pasangan Islam bercerai setiap hari.
Jumlah
perceraian yang boleh dikategorikan kritikal ini mendorong penceramah
motivasi terkenal Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dan suaminya, Wan
Akashah Wan Abdullah berkongsi asas-asas untuk membina rumah tangga
bahagia.
Pasangan ini berkunjung ke Utusan Malaysia, Kuala
Lumpur bersempena ceramah yang dianjurkan oleh Pusat Pungutan Zakat
Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.
Asas 1
Menurut
Siti Nor Bahyah, setiap pasangan yang berkahwin harus menetapkan
matlamat mereka iaitu kebahagiaan di dunia dan akhirat. Hanya iman dan
takwa boleh membawa pasangan ke syurga untuk mendapatkan kebahagiaan
yang abadi. Uji diri adakah kita telah menjalani tanggung jawab sebagai
Muslim. Keluar rumah menuju ke pejabat apakah niatnya?
Bagi
isteri, jangan salah guna keizinan bekerja yang suami telah beri.
Elakkan makan berdua dengan lelaki bukan muhrim begitu juga dengan
lelaki. Masing-masing perlu perkukuh iman dan kepercayaan yang telah
diberikan, barulah rumah tangga ada asasnya.
Menurutnya, tip
dari nabi SAW untuk menjaga kesetiaan ialah jangan sesekali suami atau
isteri mendengar rintihan dari rakan yang berlainan jantina dari mereka.
"Ujian datang dalam bentuk kesenangan dan juga kesusahan, jadi kalau
iman kita lemah kita pasti akan kalah, untuk menguatkan iman di pejabat,
pastikan kita berjemaah di surau pejabat dan isi masa dengan membaca
al-Quran," tambah Wan Akashah pula.
Asas 2
Perlu ada kasih sayang, cinta dan rindu.
"Sedihnya dua elemen ini sering berlaku pada zaman bercinta sahaja.
Nabi SAW berpesan, kalau kita sayangkan seseorang mesti ditunjukkan
dengan kata-kata dan perbuatan. Jadi jika ada suami yang mengatakan
'abang sayang, cuma tak tunjuk saja' maka itu tidak patut, kerana nabi
ajar suruh tunjuk," tambah Siti Nor Bahyah pula.
Sebagai ibu,
haruslah memanggil anak dengan penuh kasih sayang dan panggilan yang
baik-baik kerana setiap patah perkataan yang keluar dari mulut ibu
adalah doa.
"Nabi sendiri pun menunjukkan kasih sayangnya
dengan berbaring di atas paha Saidatina Khadijah, jadi mengapa perlu
suami sekarang tidak mengikuti perlakuan Rasulullah kalau itu yang
menggembirakan hati isteri," ujar Siti Nor Bahyah.
Asas 3
Contohi akhlak Nabi Muhammad SAW, jagalah adab suami isteri serta
tingkah laku masing-masing. Setiap dari anggota yang Allah kurniakan
seperti mata, mulut dan hidung semuanya perlu dijaga.
Kata Wan Akashah, isteri mesti memastikan suami makan dari masakannya supaya berkat.
"Sebab itu ustaz sendiri pun makan masakan yang ibu dan isteri masak.
Dari situ makanan yang dimakan itu diyakini kebersihannya, apa yang
dimakan menjadi darah daging untuk membentuk insan yang berakhlak
mulia," jelasnya.
Asas 4
Tegas Siti Nor Bahyah, amanah
dan tanggung jawab perlu dipikul sehabis baik oleh setiap pasangan.
Dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai pasangan yang secara tidak sengaja
mengabaikan masa bersama pasangan atau anak-anak.
"Anak adalah
amanah, sebaiknya kita menjaga anak kita sendiri dan tidak perlu
menyerahkan tugas tersebut kepada pembantu rumah atau hantar ke pusat
jagaan. Kalau pakai pembantu janganlah pula kita membiarkan pembantu
mengambil peranan kita sebagai isteri," tambahnya.
Asas 5
Setiap suami atau isteri mesti pastikan rezeki yang mereka perolehi adalah halal dan diberkati.
"Biar sedikit tapi mencukupi. Keberkatan itu amat penting. Apabila kita
bersembahyang kita pasti akan mendapat ketenangannya. Begitu juga
dengan kewajipan berzakat yang apabila kita tunaikan pasti kita akan
tenang kerana mengikut suruhan Allah," ujar Siti Nor Bahyah.
Asas 6
Pesanan yang paling penting ialah berbuat baiklah kepada ibu dan bapa.
"Apabila kita sebagai anak berbuat baik kepada ibu bapa kita,
Insya-Allah anak-anak kita akan baik kepada kita dan rumah tangga kita
pasti bahagia," ujarnya
No comments:
Post a Comment